Penambahan Nilai Kendiri - Penambahan Nilai Gaji

Assalamualaikum.

Terbaca satu sharing posting yang sangat menarik di FB  dan ML ingin kongsikan bersama pembaca. Apa yang ML baca ini pernah ML dengar dari penceramah terkenal JIM ROHN. Beliau kata, " Anda ingin tambahkan 'gaji' anda, anda wajib tambahkan NILAI diri anda dengan menambah kemahiran kendiri, meningkatkan kualiti diri anda."


ML berkecimpung dalam dunia Network Marketing, nilai-nilai kendiri adalah amat penting untuk diolah menjadi MAGNET PELANGGAN DAN PROSPEK.

Jadi kita baca, posting yang dicopy-paste dari FB Dr Siti Ujila Official untuk bacaan anda.


Dr Siti Ujila Official
5 PERKARA BAGAIMANA PELAJAR SEKOLAH/UNIVERSITI DAPAT JADI 'LEBIH BIJAK'


Apabila saya pergi ke sekolah atau universiti untuk beri semangat kepada adik-adik, berkongsi tips untuk berjaya...sebenarnya kalau nak tahu, hati saya meronta-ronta.

Betapa ingin benar saya memberitahu mereka realiti dunia yang sebenar.

Dunia yang mana deretan A yang mereka bersungguh-sungguh untuk score tidak mampu menjamin yang hidup mereka lagi beberapa tahun akan bahagia dan selesa.

Yang kerjaya professional yang mereka idamkan tidak mampu untuk membuatkan impian mereka tiba-tiba jadi kenyataan.

Impian untuk belikan rumah untuk mak ayah, hantar mereka ke tanah suci. Impian untuk berjalan-jalan bermain salji.

Tidak, bukan itu yang berlaku. Tapi sebaliknya mereka akan terkejut berhadapan dengan sewa rumah yang semakin mahal, harga minyak yang semakin naik, dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Inilah perasaan yang saya rasa ketika mula bekerja.

Saya ingatkan bila saya cemerlang SPM, dapat first class dalam bidang kejuruteraan dari sebuah universiti di luar negara, nasib saya sekeluarga akan berubah.

Jika selama ini saya dan emak hanya mampu berkayuh basikal untuk ke kedai malah untuk mak menghantar saya ke sekolah, dan terpaksa meminjam motosikal jiran jika perlu pergi ke kampung sebelah, saya fikir saya dapat beli sebuah kereta yang selesa untuk bawa emak kemana-mana. Supaya emak sudah tidak perlu susah payah mengayuh basikal ke pasar.

Tapi rupanya yang saya mampu ada waktu mula bekerja hanya sebuah kereta kancil second hand yang aircond dia banyak kali rosak. Sampai saya balik kampung bertemankan angin sepoi-sepoi bahasa dari luar yang panas dan bila lori pasir lalu habis dengan muka-muka saya sekali kena pasir.

Saya beli kereta kancil tu (masa beli condition dia ok) sebab saya tengok dengan duit gaji saya, itulah yang saya mampu. Sebab duit banyak nak guna untuk benda-benda lain yang lebih penting. Untuk bagi duit kat emak tiap-tiap bulan supaya emak dah tak payah fikir pasal duit.

Saya ingat lagi, saya pernah cakap kat emak. Masa tu saya bawa mak beli barang dapur di satu pekan di tempat saya. Pekan Tanjung Sepat namanya. Bersama seorang lagi mak angkat saya. Bila bonet barang mula penuh dan saya tengok takde lagi ruang untuk diisi, saya cakap kat emak yang nanti saya akan beli kereta yang lebih besar.

"Senang nanti nak bawa mak pergi pasar" Mak macam biasa, tersenyum dengar cerita anaknya. Sejak itu setiap kali ke pasar, lalu kereta cantik, mak akan tanya, "kereta macam tu ke dik?"

Saya tahu, mak saya tak kisah pun dengan rezeki yang ada. Mak sentiasa mampu tersenyum walau duit takde. Tapi mak cakap macam tu sebab nak 'layan' impian anaknya nak beli kereta baru yang lebih besar, lebih cantik.

Saya sedih, sebab sampai mak menghembuskan nafasnya yang terakhir saya masih mambawanya dengan kereta kancil yang kadang-kadang takde air-cond tu. Yang pernah sekali, tiba-tiba asap keluar dengan sangat banyak hingga saya terpaksa berhenti tepi jalan.

Namun saya syukur, Tuhan bagi rezeki untuk kumpul duit semasa belajar di US. Dengan rezeki itu dapat saya buatkan rumah untuk emak bila balik ke Malaysia.

Saya fikir, jika saya perlu bergantung pada gaji untuk buatkan emak rumah, tentu emak juga tidak sempat merasa duduk di rumah baru.

Masa tu lah saya fikir, "Kenapa orang selalu cakap belajar rajin-rajin, ambil bidang sains dan kerja sebagai doktor, engineer, peguam, akauntan, tapi kenapa saya tak pernah tahu yang gaji kerja yang bunyi 'gah' ni sebenarnya tak banyak mana?"

Yang selepas bertungkus lumus mengejar A dan memerah kepala menghadam segala formula di universiti, gaji yang diterima akan habis belum pun masuk gaji bulan yang seterusnya. Makan sehari sekali sebab nak berjimat cermat.

Sekarang ini, walaupun gaji saya sudah ok setelah memegang ijazah PhD, tapi sebenarnya untuk saya membantu orang lain masih terlalu limited. Hati saya rasa bersalah pada anak-anak buah yang masih hidup susah dan saya tidak dapat bantu dalam kuantiti yang banyak. Malah sehingga ke hari ini saya masih terkial-kial untuk mengumpul duit untuk menunaikan haji.

Saya bukan berkata untuk merungut. Tapi, kalau saya tahu lebih awal, saya tahu saya akan lebih 'bijak'.

Saya tahu yang saya tidak akan fokus pada akademik saja. Saya tetap akan kejar semua A, grad universiti dengan CGPA tinggi, tapi tentu saya spend juga masa untuk asah bakat, skill dan potensi dalam bidang lain yang sebenarnya nanti dapat bagi saya duit tambahan di samping bekerja dalam bidang professional tu.

Yang saya lihat, selalu yang terjadi ialah..duit dari bakat, skill dan potensi dalam bidang lain ini lah yang lebih beri keselesaan dari sudut kewangan berbanding gaji itu sendiri.

Sebab itu saya selalu pesan pada anak-anak didik. Realiti yang gaji mereka sebagai engineer sebenarnya tidak banyak mana. Tidak cukup untuk mudah hulur duit pada mak ayah, apatah lagi untuk bantu anak yatim dan kanak-kanak anak gelandangan.

Masa yang ada bukan hanya untuk akademik dan aktiviti ko-kurikulum. Masa yang selebihnya bukan sepatutnya diguna untuk berjalan-jalan, melepak di kedai mamak, atau bersembang di bilik kawan.

Tapi itulah masa keemasan yang sepatutnya digunakan untuk mahirkan diri dalam sesuatu kemahiran yang nantinya boleh datangkan pendapatan kepada mereka.

Nasihat saya kepada para pelajar, baik di sekolah mahupun di universiti: belajar bersungguh-sungguh untuk capai kejayaan cemerlang dalam SPM/CGPA. At the same time, lakukan ini juga:

1. Fikirkan bakat apa yang ada dalam diri dan asah ia supaya menjadi satu kemahiran. Mungkin ia bermula dari hobi itu sendiri?

2. Cari ilmu tentang kemahiran tersebut. Kalau tidak tahu, pergi belajar. Sekarang banyak kursus dan seminar di anjurkan. Malah di internet maklumat juga ada di sana sini.

3. Belajar bagaimana cara membuat duit dari hobi atau kemahiran yang ada. Tengok macamana orang lain buat duit dari kemahiran yang sama.

4. Belajar bagaimana menggandakan duit dengan risiko yang paling rendah. Orang yang bijak dalam kewangan adalah orang yang tahu menggandakan duitnya yang ada.

5. Belajar bagaimana menguruskan kewangan. Supaya kalau ada duit, ia terurus dengan baik. Kenal pasti jenis 'tabungan' yang mesti ada dan biasakan/amalkan dari sekarang.

Supaya nanti mereka tidak hanya bergantung pada gaji yang selepas dua minggu dah habis. Tapi ada juga sumber pendapatan lain yang banyaknya bergantung kepada sejauh mana mereka mahir.

Sebab itu mereka perlu mahirkan diri bermula dari sekarang: ketika mereka sedang bersekolah dan belajar di universiti.

Saya terpaksa bermula melakukan ini ketika umur mencecah 30 tahun. Saya rasa rugi yang amat. Waktu anak sedang kecil, selalu merengek inginkan perhatian, waktu sudah terbeban dengan kerja-kerja ofis, waktu itu jugalah saya baru bermula untuk belajar apa yang saya tuliskan di atas.

Sebab itu pesan saya kepada adik-adik di sekolah/universiti: anda ada peluang cukup besar. Buat dari sekarang. Siap-siap bekalkan diri anda dengan ilmu dan kemahiran yang nantinya dapat diguna bila keluar universiti.

Jadilah orang yang lebih bijak.

1. Supaya anda tidak tertekan dengan realiti dunia yang sebenar.
2. Supaya anda tidak terlewat untuk memberi keselesaan kepada ibu dan ayah sebelum mereka dijemput Tuhan.
3. Supaya anda tidak terkial-kial untuk membantu adik beradik, anak-anak saudara yang memerlukan bantuan.
4. Supaya anda punya kapasiti untuk bantu ramai orang lain di luar sana yang tidak punya makanan untuk disuap ke anak kecil mereka, tiada tempat untuk berteduh.

FB: Dr Siti Ujila Official
12 Julai 2015
.
Kepada yang masih berminat untuk infaq kepada Program generasi luar biasa, kami masih membuka peluang. Insha Allah selepas raya kami akan mulakan jelajah ke sekolah dan universiti untuk menjayakan program 'Giving back to school' ini. Maklumat lanjut di: www.generasiluarbiasa.com

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Maklumat Umum : Waktu Operasi

TERKINI : Sarang Burung Walet Untuk Dijual.

Eh Eh... Orang Kampung saya laa