Pengasuh dan taska - Apa pilihan kita ada?

Salam.

Kebelakangan timbul isu taska yang mendera kanak-kanak. Dan ini sangat menakutkan dan menyedihkan saya. Kanak-kanak adalah insan yang suci dan belum mengenal erti kehidupan ini. Dan kanak-kanak sangat perlu dilindungi. Realitinya, kehidupan ini sangat menakutkan. Semua dewasa faham apa yang saya maksudkan. Apabila melihat kanak-kanak menangis, ataupun hanya mendengar kanak-kanak menangis, hati saya dah rasa disiat-siat, walaupun saya tidak tahu sebab kanak-kanak itu menangis. Ya Allah, sejak menjadi seorang ibu, hati ini terlalu lembut, sehinggakan kadang-kadang saya tak sanggup medengar kanak-kanak menangis, apatah lagi melihat kanak-kanak yang didera.

Persoalan yang saya cuba kemukakan di sini ialah apa pilihan yang ada pada kita sebagai ibubapa selain taska dan pengasuh? Sebenarnya hidup ini ada pilihan, sama ada kita percaya atau tidak. Pengalaman dan persepsi saya apabila saya melihat kanak-kanak yang dihantar ke rumah pengasuh (semasa saya juga menghantar anak saya ke pengasuh), saya merasakan bahawa apakah itu kehidupan yang saya hendak anak saya lalui? Hati kecil saya menjawab, "TIDAK". Saya hendak memberikan sebuah kehidupan yang "selesa" kepada anak saya. "Selesa" dalam ertikata, dia tidak perlu membesar di rumah orang lain, makan tengah hari di rumah orang lain, menunggu saya dan suami balik dari kerja, duduk sunyi di rumah tanpa ada saya menyediakan makanannya, pakaiannya, dan kehendaknya yang lain. Ya Allah, saya tak nak kehidupan sebegitu pada anak saya, mahupun anak orang lain.

Tapi kenapa saya tidak berhenti kerja sekarang dan menjadi seorang pengurus rumah tangga? Jawapannya HUTANG. Saya membuat pinjaman bank, dan dikehendaki membayar balik. Dan nasihat ikhlas daripada saya kepada semua di luar sana, jauhilah hutang dalam apa bentuk sekalipun. Ini semua kerana nafsu kita yang sangat 'besar' dan tidak akan puas dengan apa yang kita ada. Jadi, sebenarnya apa rancangan saya? Saya merancang untuk mencari pendapatan sampingan sehingga dapat membayar hutang balik saya dalam masa yang paling pendek, dan kemudian menjadikan aktiviti itu sebagai sumber pendapatan saya agar saya tidak perlu meninggalkan rumah, ataupun saya boleh membawa anak saya ke tempat kerja saya, iaitu tempat kerja milik saya sendiri dan saya adalah ketuanya. Itu impian saya. Dan saya panjatkan doa agar impian saya menjadi kenyataan.

Jadi, apa pilihan  yang saya atau anda ada?  Pilihan kita ialah kita mencari jalan untuk berubah daripada makan gaji kepada berniaga, atau daripada bekerja di pejabat ke bekerja di rumah. Allah s.w.t. menjadikan manusia ini istimewa, khalifah bumi dan dengan itu semestinya ada pilihan, ada ikhtiar. Nabi sendiri menyatakan bahawa perniagaan itu adalah 9 daripada 10 pintu rezeki. Percaya dan yakin itu adalah benar. Cubalah usaha mencari jalan alternatif kepada keadaan kita sekarang. Cari ilmu yang bermanfaat, berniaga kecil-kecilan, menulis buku, menggunakan bakat yang ada, semua itu boleh membantu kepada perubahan hidup kita sekiranya kita lakukan dengan istiqomah. Saya percaya dan yakin suatu hari nanti saya akan mempunyai perniagaan sendiri, tempat kerja sendiri di mana saya dengan sesuka hati saya boleh bawa anak saya bersama pergi bekerja/berniaga. Sekiranya itu impian anda juga, kita seharusnya melakukan perubahan. Perubahan itu sakit tetapi, sekiranya semua itu didasari dengan iman dan kasih sayang kepada keluarga kita, perubahan itu adalah perkara kecil yang perlu kita lalui.

(berhenti seketika, dan akan disambung semula in shaa Allah)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Maklumat Umum : Waktu Operasi

TERKINI : Sarang Burung Walet Untuk Dijual.

Eh Eh... Orang Kampung saya laa