Jumaat, 10 April 2015

Tak Boleh Menulis? 8 Strategi untuk Mengatasi Blok Penulisan

Assalamualaikum.

Sebagai pemunya blog, mahupun pemunya facebook, menulis adalah salah satu cara untuk menarik minat pembaca dan juga mendapatkan pelanggan. Tetapi ada kalanya, kata-kata dan ayat-ayat tidak terzahir dek kerana halangan atau blok penulisan.

Saya mengikuti webpage www.entrepreneur.com. Di situ ada pelbagai tips, artikel berkaitan motivasi, panduan perniagaan online dan banyak lagi yang berinformasi di webpage ini.  Jadi saya mengambil beberapa tips yang ditulis oleh Catherine Clifford yang merupakan salah seorang penulis di www.entrepreneur.com. Beliau menuliskan tentang beberapa strategi untuk mengatasi halangan penulisan.

1. Hilangkan sindrom "Aku Bukan Seorang Penulis".
Setiap hari tanamkan (atau lebih tepat lagi BRAINWASH)  diri sendiri dengan kata-kata seperti "Aku sememangnya boleh menulis.". Harus yakinkan diri sendiri yang anda boleh menulis.

2. Jangan tunggu Ayat/Perkataan yang Sempurna
Untuk menulis, mulakan sahaja penulisan itu dengan apa sahaja yang terlintas di hati dan minda. Jangan tunggu.  Jangan tunggu seperti menunggu bas di perhentian bas. Anggap ia seperti kayuh basikal, mulakan kayuhan pertama anda. Kayuhan pertama yang menggerakkan roda untuk berputar, maka anda akan berjalan dengan sendirinya. Mungkin tidak stabil, tetapi anda tetap bergerak. Tunggangan akan menjadi stabil apabila anda melakukan latihan menaiki basikal beberapa kali. Konsep penulisan lebih kurang begitulah. Cuma dengan penulisan selepas anda membuat karya anda, anda masih boleh sunting dan olah balik karya penulisan anda.

3. Mengeluarkan kata-kata Lisan  kepada Diri Sendiri 
Berkata-kata secara lisan boleh membantu idea untuk mengalir dengan lancar. Apabila anda ada idea, dan anda mengadap komputer, berkata-katalah dengan diri sendiri. Cara ini bagai menzahirkan idea dalam 2 bentuk iaitu - audio dan tulisan. Dan kedua-dua ini berjalan serentak. Sambil bercakap, tangan berjalan mengetuk keyboard. Dan saya pun perasan saya melakukan perkara yang sama.

4. Letaklah Perkataan, Ayat, atau Perenggan mengikut Kedudukan yang Sesuai - seperti permainan 'puzzle'
Jangan kaku dalam menyusun karangan/karya anda. Anda boleh buat apa sahaja yang anda mahu sehingga anda berpuas hati dengan hasil kerja anda. Olahlah ayat-ayat yang telah anda karang di mana sahaja, letaklah di mana sahaja perenggan yang sesuai. Dunia penulisan adalah kreativiti dan kebebasan. Sekiranya, anda dilanda idea yang 'overwhelming' ( bahasa Melayu - lambakan),  catatkan semua idea yang melanda. Kemudian baru anda, mengggunakan idea yang datang untuk menghasilkan tulisan. Ini akan membantu anda supaya anda tidak tercicir satupun idea yang anda dapat.

5. Jadikan Konsep atau Idea atau Pendapat dalam Beberapa Perkataan yang Pendek
Untuk bidang perniagaan, penulisan untuk mendapatkan geran, atau menyediakan kertas cadangan ataupu syarahan, pastikan anda melaklukan kajian yang teliti dan menyeluruh dan dalami apa yang hendak anda sampaikan. Padatkan idea dalam beberapa patah perkataan pendek dan kemudian kembangkan idea anda dari situ. Dan pastikan isi kandungan yang dikembangkan adalah bertepatan dengan konsep atau idea.

6. Elakkan Diri daripada Perangkap Internet
Internet mempunyai tarikan yang membuatkan anda hilang fokus. (Saya juga mengalami masalah yangs sama semasa hendak melakukan pemasaran di Facebook). Jadi elakkan dari berada di mode ONLINE semasa anda cuba menulis sesuatu yang sangat penting. Anda juga boleh menyediakan satu ruangan tanpa internet untuk anda berkarya. Ini membantu anda untuk fokus.

7. Jangan Terperangkap dengan Berfikir "Harus Mula dari Permulaan"
Anda tidak perlu bermula dari titik permulaan seperti bab 'Pengenalan'. Anda boleh sahaja bermula daripada apa-apa idea yang sedang terlintas. Mungkin isi kandungan. Mungkin kesudahan. Mulakan dari mana-mana sahaja. Kemudian anda tentukan kedudukan yang sesuai untuk hasil tulisan anda.

8. Sediakan tempoh masa untuk diri sendiri (Deadline).
Walaupun anda cuma menulis untuk minat, suka-suka atau apa sahaja tujuan, sediakan 'deadline' untuk diri sendiri dan patuhi jadual yang anda tetapkan. Kenapa?  Kerana ini adalah sebagai sasaran yang perlu anda capai. Selain itu, ia membantu momentum anda dalam penulisan. Apabila penulisan sebagai rutin, anda akan cuba sedaya upaya untuk menulis. Dan akhirnya penulisan akan menjadi sesuatu yang semulajadi untuk diri anda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan