Isnin, 16 Disember 2013

Motivasi Diri - Istiqamah - Sukar dan membosankan

Salam.

Hari ini kita semua akan bermuhasabah diri. Kerana entri kali ini berkisar tentang sebab kenapa kita tidak boleh istiqamah ataupun fokus dalam pelbagai perkara dalam hidup kita.

Antara sebab yang menyebabkan kita tidak boleh fokus dengan perkerjaan kita ialah perasaan bosan. Saya akui, saya memang jenis manusia yang tidak suka pada rutin dan pekerjaan yang sama berulangkali. Saya cepat bosan. Rutin bagi saya adalah sangat membosankan.



Dalam saya tengah tidak boleh fokus dengan pekerjaan saya tadi, saya meng'Google' mencari tips-tips atau petua untuk membantu diri saya lebih fokus. Dan saya menemui sebuah artikel Inggeris yang  bertajuk "How To Stay Focused when Working on Your Goals Gets Boring" ditulis oleh James Clear (http://jamesclear.com). Saya akan terjemah beberapa perkara dari artikel beliau.

(Tulisan dari James Clear)
Kita semua mempunyai matlamat dan impian, tapi adalah sukar untuk kekal berpegang kepada matlamat dan impian kita. Setiap minggu, saya mendengar orang mengatakan perkara seperti, " Saya mulakan dengan niat yang betul, namun saya tidak dapat mengekalkan konsistensi saya untuk jangka masa yang panjang." Ataupun  "Saya meronta-ronta dalam minda saya. Sayaa boleh bermula dengan baik, tetapi saya tidak dapat mengikutinya dan menumpukan perhatian dalam jangka masa yang lama."
Jangan risau. Saya pun seperti anda sekalian. Misalannya, saya memulakan sesuatu projek, saya mengerjakan sedikit sahaja, kemudian saya hilang fokus dan saya memulakan projek baru yang lain. Dan juga saya akan hilang fokus dalam matlamat saya dan cuba yang lain lagi. Perkara ini berulang-ulang, sehinggakan saya tidak mencapai sedikitpun pencapaian dalam projek-projek saya. Mungkin anda juga melalui perkara yang sama seperti saya. Ini mengingatkan saya suatu pengajaran yang saya dapat semasa saya menjalankan latihan jasmani.


Pada suatu hari di gym, ada seorang jurulatih membuat lawatan. Beliau telah bekerja dan melatih ribuan atlit sepanjang kerjayanya, termasuk atlit kebangsaan dan juga yang pernah menyertai Olimpik. Saya baru sahaja selesai menjalani latihan dan saya bertanya kepada jurulatih tersebut, " Apa beza antara atlit terbaik dengan orang biasa? Apa yang dilakukan oleh orang yang berjaya yang tidak dilakukan oleh orang kebiasaan?" Dia menerangkan dengan ringkas perkara yang seperti anda jangkakan. Genetik. Tuah. Bakat. Tetapi kemudian beliau menyatakan sesuatu yang di luar jangkaan saya. "Pada tahap tertentu, semua berbalik kepada sesiapa yang boleh mengawal perasaan bosan dalam latihan setiap hari dan melakukan gerakan yang sama berulang-ulang kali.." Pesanan jurulatih tersebut mengejutkan saya, kerana ia adalah satu pemikiran yang berbeza tentang etika kerja.
Kebanyakan orang bercerita tentang semangat bermotivasi dan menumpukan kerja mereka tentang matlamat mereka. Tidak kira sama ada perniagaan ataupun sukan, anda biasanya akan mendengar ayat "Semuanya berbalik kepada semangat yang membara."


Kesimpulannya, saya merasakan kebanyakan orang biasa akan tertekan apabila mereka hilang fokus atau motivasi kerana mereka fikir yang orang-orang berjaya mempunyai semangat yang berterusan dan tekad yang kental, yang mana mereka tidak miliki.  Tetapi itu adalah terbalik dengan apa yang dimaksudkan oleh jurulatih tadi.

Sebaliknya, apa yang dimaksudkan jurulatih tersebut ialah bahawa orang-orang berjaya juga mempunyai perasaan bosan dan juga kekurangan motivasi seperti yang dirasakan oleh semua orang. Mereka tidak mempunyai 'ubat ajaib' yang boleh membuatkan mereka bersiap sedia dan berinspirasi sepanjang masa. Perbezaannya ialah orang-orang berjaya, berpegang teguh dengan matlamat mereka tidak membiarkan emosi mereka menentukan tindakan mereka. Orang-orang yang mempunyai pencapaian terbaik akan mencari jalan untuk hadir ke tempat kerja atau tempat latihan, mengharungi kebosanan dan menjalani latihan harian yang diperlukan untuk mencapai matlamat mereka.  Menurut beliau lagi, kebolehan melakukan kerja sewaktu perkara itu susah membezakan orang-orang brjaya dengan orang kebanyakan. Itulah perbezaan antara professional dan amatur.

Sesiapa sahaja boleh bekerja keras apabila mereka rasa bermotivasi. Semasa saya masih seorang atlit, saya suka berlatih selepas kemenangan besar, selama seminggu. Siapa yang tak nak? Jurulatih anda adalah kegembiraan, rakan sepasukan anda bersemangat tinggi, dan anda akan merasakan anda boleh mengalahkan sesiapa sahaja. Sebagai usahawan, saya suka apabila bekerja dengan pelanggan yang mengujakan dan semua perkara berjalan lancer. Mendapat hasil membuatkan anda ingin maju ke hadapan.

Tapi bagaimana sekiranya anda bosan? Bagaimana pula apabila kerja itu susah? Bagaimana pula apabila tiada sesiapa yang menumpukan perhatian kepada anda atau anda tidak mendapat hasil sperti yang anda inginkan? Adakah anda sanggup mengharungi kesunyian selama 10 tahun?
Kebolehan bekerja apabila kerja amat sukar, itulah perbezaannya.

Selalunya, kita fikirkan matlamat kita adalah tentang hasil. Kita melihat kejayaan sebagai acara yangboleh dicapai dan disempurnakan.

Contohnya:
  • Kebanyakan orang melihat kesihatan itu satu acara: " Jika saya kurangkan berat badan sebanyak 20kg, maka saya akan dalam bentuk badan ideal."
  • Kebanyak orang melihat keusahawanan itu satu acara: " Jika kita berjaya meletakkan perniagaan kita dalam New York Times, maka kita akan mencapai kejayaan."
  • Kebanyakan orang melihat seni itu sebagai acara :" Jika aku boleh meletakkan hasil kerja saya dalam galeri, maka saya akan memiliki kredibiliti yang saya mahu."
Itu adalah cara-cara kita meletakkan kejayaan kita dalam satu acara. Tetapi jika anda perhatikan kepada orang-orang yang mencapai kejayaan secara konsisten, anda akan menyedari bahawa bukan acara atau hasil yang membezakan mereka. Semua adalah kerana komitmen mereka dengan proses kerja. Mereka 'jatuh cinta' dengan amalan harian, dan bukannya satu acara sahaja.

Apa yang menarik ialah, sudah tentu sekiranya menumpukan perhatian kepada proses, itu akan akan membuatkan anda mengecapi hasil yang dicitakan.



Jika anda ingin menjadi penulis yang agung, maka untuk capai hasil yang anda inginkan, 'jatuh cinta'lah dengan proses penulisan.

Jika anda ingin dunia mengenali perniagaan anda, maka 'jatuh cinta' lah dengan proses pemasaran untuk mencapai hasilnya.

Jika anda ingin menjadi orang yang berjaya dengan apa jua bidang, anda harus 'jatuh cinta' dengan proses kerja untuk mencapainya.

Anda harus 'jatuh cinta' dengan membina identiti orang yang melakukan kerja, daripada mengimpikan hasil yang anda lakukan. Dalam perkataan lain, 'cintailah' kebosanan, 'cintailah' pengulangan dan latihan dan amalan.  'Cintailah' proses yang anda lakukan dan biarkan hasil itu muncul sendiri.

-Tamat Terjemahan-

Daripada artikel James Clear itu, saya menyimpulkan bahawa untuk berpegang kepada sesuatu amalan atau rutin itu, seseorang itu perlu 'mencintai' nya dahulu. Seperti kata James Clear, sekiranya kita hendak menjadi penulis yang Berjaya, dan menulis setiap hari, kita perlu mencintai  proses menulis, mengarang, dan dengan itu barulah kita akan melakukan penulisan setiap hari tanpa bosan. Walau bosan bertandang, kita masih akan menulis walau apa cara sekalipun.

Seperti juga amalan ibadah kita, kita akan istiqamah sekiranya kita mempunyai cinta yang cukup mendalam kepada Allah dan rasul. Untuk itu, saya meng-Google sekali lagi untuk tips cara-cara untuk istiqamah dalam ketaatan.

Dari Habib Ali Al Jufri memberikan 4 cara untuk istiqamah dalam ketaatan, iaitu:

PERTAMA : Berdoa kepada Allah s.w.t.
KEDUA : Menjaga mata, telinga dan mulut.
KETIGA : Hati sentiasa hadir bersama Allah ketika beribadah.
KEEMPAT : Meletakkan had minima ibadah harian.
(Sumber : www.mohdazrul.net)

Sebenar, istiqamah atau konsisten dalam sesuatu pekerjaan atau amalan itu sangat sukar. Anda faham perasaan ini, jika anda pernah melakukan sesuatu yang sama setiap hari dan konsisten, ataupun anda cuba mengamalkan atau mempraktikkan suatu rutin atau amalan yang anda jarang lakukan setiap hari. Memang sukar. Percayalah, saya melaluinya. Walaubagaimanapun, sekiranya kita mendambakan kejayaan maka kesukaran tersebut harus diharungi, perasaan bosan harus ditangani dan dihadapi dengan bijak.



Sekian.

Jazakallah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan