Isnin, 29 Mac 2021

Masalah Jerawat Tak Berkesudahan

 

 Link :   Masalah jerawat tak berkesudahan (hmetro.com.my)


MASALAH jerawat di muka antara mimpi ngeri yang cuba dielakkan oleh sesiapa sahaja.




Apa tidaknya masalah ini sukar disembunyikan terutama kepada mereka yang sangat mementingkan penampilan diri sekali gus mengurangkan keyakinan diri untuk berdepan dengan orang ramai.

Lebih menyedihkan, biarpun sudah menggunakan pelbagai produk dan menjaga pemakanan, masalah jerawat masih tidak berkesudahan.

Bagaimanapun, ramai yang tidak menyedari masalah jerawat ini juga boleh berpunca daripada sindrom ovari polisistik (PCOS).

Pakar Perunding Kanan Sakit Puan dan Perbidanan, Profesor Nur Azurah Abdul Ghani berkata, PCOS adalah keadaan di mana seseorang wanita itu mengalami ketidakseimbangan hormon di dalam badan mereka.

"Ia juga boleh mengganggu kitaran haid wanita dan menyebabkan individu itu mengalami kesan lebihan hormon androgen yakni hormon lelaki.

"Imbasan ultrasound lazimnya menunjukkan kilang telur (ovari) mereka agak besar berbanding wanita lain dan mempunyai folikel (cyst) yang banyak," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, mereka yang mengalami PCOS juga boleh menyebabkan berlakunya masalah jerawat yang teruk disebabkan ketidakseimbangan hormon dalam badan mereka.

"Kilang telur (ovari) wanita bukan hanya menghasilkan hormon estrogen tetapi ia juga menghasilkan hormon androgen pada kadar yang rendah.

"PCOS akan menyebabkan kilang telur menghasilkan lebih banyak hormon androgen yang memberi kesan pada kulit dengan menghasilkan lebih banyak sebum menjadikan permukaan kulit lebih berminyak," katanya.

Ketua Jabatan Obstetriks dan Ginekologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) itu berkata, liang sebum yang tersumbat ini akan mencetus jerawat pada permukaan kulit.

"Kehadiran bakteria Propionibacterium acnes akan menyebabkan radang pada jerawat itu.

"Jerawat ini bukan sekadar berlaku di muka tetapi 50 peratus boleh didapati pada bahagian leher, dada dan juga belakang wanita," katanya.

Oleh itu, bagi wanita yang mengalami PCOS, rawatan asas yang diberikan adalah bertujuan mengimbangi semula hormon di dalam badan mereka.

"Ini secara tidak langsung akan mengurangkan kadar penghasilan hormon androgen di dalam badan mereka dan seterusnya mengurangkan efek yang disebabkan hormon itu seperti jerawat.

"Langkah utama yang perlu diambil oleh wanita itu ialah berusaha mengurangkan berat badan yang berlebihan.

"Sekiranya berat badan kembali pada berat ideal, keseimbangan hormon dapat dicapai dan ini boleh mengurangkan jerawat serta kitaran haid yang tidak teratur," kataya.

Beliau berkata, pengambilan pil perancang juga dapat membantu melancarkan kitaran haid dan membantu mengurangkan jerawat.

"Bagi mereka yang mengalami masalah jerawat yang teruk, perlu berjumpa dengan pakar kulit untuk membantu mengurangkan masalah jerawat yang mereka alami," katanya.

Bagaimanapun, kehadiran jerawat bukannya satu-satunya tanda seseorang wanita itu mengalami PCOS.

"Mereka yang mengalami PCOS lazimnya mempunyai berat badan yang berlebihan, kitaran haid yang tidak teratur, mempunyai bulu yang agak berlebihan berbanding wanita biasa, keguguran rambut dan kulit yang gelap di bahagian leher serta ketiak," katanya.

Secara amnya, kesedaran masyarakat terhadap PCOS masih rendah sehingga ramai yang masih tidak sedar mengenai risiko sekiranya penyakit ini tidak dirawat.

"Ada dalam kalangan mereka mengalami obesiti, penyakit kencing manis, darah tinggi dan kesukaran untuk hamil. Mereka juga berisiko untuk mendapat kanser rahim," katanya.

Bagi mereka yang mempunyai PCOS, perlu lebih cakna dalam menjaga kesihatan diri kerana mereka berisiko untuk mendapat masalah kesihatan.

"Mereka perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan pemakanan yang seimbang serta melakukan senaman.

"Selain ubatan doktor, pengambilan probiotik juga boleh membantu mengimbangI hormon di dalam badan mereka," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Komen